Monday, November 29, 2010

Mencari Erti Persahabatan - Bahagian Pertama

Biarlah tulisan kali ini dimulakan dengan beberapa soalan, antaranya:
1. Apakah yang dimaksudkan dengan persahabatan?
2. Bagaimana persahabatan terjalin?
3. Bilakah kita menganggap sahabat itu sebagai sahabat sejati?

Selepas kita dilahirkan ke dunia ini kita akan membesar dari seorang bayi hingga menjadi seorang kanak-kanak. Semasa zaman kanak-kanak kita telah bertemu dan mengenali kawan atau sahabat. Begitulah seterusnya hingga kita menjadi dewasa. Kita melalui zaman persekolahan, memasuki kolej atau universiti dalam negara ataupun yang lebih bernasib baik dapat ke universiti luar negara. Ada yang menyebut kawan zaman kanak-kanak, kemudian kawan zaman persekolahan hinggalah kawan seuniversiti. Selepas tamat pengajian, kita memulakan kerjaya, baik disektor awam, swasta atau mungkin ada yang memulakan perniagaan sendiri. Tidak kurang juga yang menguruskan perniagaan keluarga. Sekali lagi kita akan mendapat kawan sekerja, rakan kongsi perniagaan. Kita juga berada dalam sebuah masyarakat atau komuniti, kita akan temui lebih ramai lagi kawan. Tetapi tidak semua kawan itu akan menjadi kawan sejati kita. Seseorang individu itu saja yang tahu siapakah kawan sejatinya.

Zaman persekolahan ada diantara kita yang tinggal di asrama, samada arama biasa atau asrama penuh. Mereka pandai dan bijak, mendapat keputusan cemerlang dalam akademik saja yang layak memasuki asrama penuh. Kehidupan di asrama memang menyeronokkan. Berbagai peristiwa dan kenangan manis dan pahit yang tidak dapat dilupakan. Kita tinggal sebumbung, makan makanan yang sama, melakukan aktiviti yang sama. Kita belajar berdikari, belajar menguruskan diri sendiri. Kita temui lagi, kawan yang pernah tinggal satu asrama. Di asrama terbahagi kepada kawan senior dan kwan junior. Kita sering menjadi mangsa buli kepada senior. Walaupun teruk dibuli, kita tidak pernah berdemdam dengan senior. Satu hari pasti kita akan bertemu semula. Mungkin di tempat-tempat awam seperti pasar raya, dalam perhimpunan parti politik, di restoran, kedai kopi atau di mana saja. Mungkin bermula dari pertemuan singkat itu hubungan kita akan terjalin semula. Tidak kira berapa lama terpisah, tertapi kita masih mampu utuk rasa gembira dengan pertemuan semula itu.

Kita dipisahkan dengan kwan-kawan oleh peredaran masa. Kita mulakan kerjaya, kita berkahwin, kita medapat cahaya mata. KIta mula berpindah dari satu tempat ke satu tempat, dari sebuah negeri ke sebuah negeri. Mungkin ada yang berhijrah ke luar negara. SAban hari kita bertemu dengan kawan baru. Ada yang datang dan ada yang pergi, begitlah lumrah kehidupan. Silih berganti, ibarat siang dan malam. Kita menemui kawan baru dan kawan lama mulai menghilang diri. Bukan merajuk tetapi kerana faktor masa dan tempat. Kita mula fokus kepada kehidupan bekeluarga dan kerjaya yang perlukan komitmen yang tinggi. Kita sering lupa untuk hubungi kawan-kawan lama. Lantaran itulah kehilangan sementara itu amat terasa dan bila kita sedari kehilangan mereka, kita akan mula mencari. Pencarian yang panjang dan mungkin sukar. Ada yang kita temui semula dan ada yang belum ditemui. Ada juga yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Al-Fatihah untuk kawan-kawan yang tak sempat ditemui, dengan iringan doa agar roh mereka ditempatkan bersama orang-orang yang soleh.

Dulu kemajuan teknologi begitu terhad. Alat perhubungan utama adalah telefon rumah atau telefon awam. Selain dari itu kita menghantar surat, telegram atau poskad kepada kawan kita. Sekarang teknologi semain maju dan canggih. Selepas komputer diperkenalkan, teknologi terus berkembang pesat terutama dalam teknologi maklumat dan perhubungan (Information, Communication Tecnology (ICT)). Kita diperkenalkan dengan handphone, sms, mms, email dan sekarang ini rangakain sosial seperti facebook, twitter, myspace dan macam-macam lagi. Dulu kita hanaya boleh mendengar suara. Dengan teknologi  3G, kita boleh membuat panggilan video dan boleh berbual dengan kawan diseluruh dunia dengan mudah. Terima kasih kepada kerajaan yang telah membawa kemajuan ini ke negara kita. Penggunaan facebook banyak memberi kelebihan kepada kita. Mudah untuk mencari kawan-kawan lama. Saya sendiri mula mengenali rangkaian sosial ini pada awal 2010. Selepas menggunakan facebook saya temui semula kawan dari zaman kanak-kanak hinggalah kepada kawan sekerja yang pernah sama-sama bekerja di sekitar Kuala Lumpur. Pertemuan demi pertemuan dan kini ramai yang telah menjadi kawan di facebook. Ada juga yang berkawan melalui twitter. Saya tidak berminat dengan myspace. Hanya dua rangkaian sosial yang menjadi pilihan.

Dalam tempoh 28 tahun selepas meninggalkan alam persekolahan, saya telah berusaha untuk mencari dan mengumpulkan kawan lama. Malangnya kekangan masa dan perhubungan yang terhad ketika itu, impian tersebut dihentikan seketika. Bermula tahun 2010, selepas memiliki akaun facebook, saya mula menemui bebrapa orang kawan sekolah sekitar tahun 1979-1982. Ketika itu saya bersekolah di Sekolah Menengah Kem terendak, Melaka (SMKT). Saya tinggal di Asrama Putera Angkatan Tentere (APAT), juga di Kem Terendak. Jadi saya ada kawan sekolah dan kawan asrama. Saya bangga menjadi pelajar di SMKT dan juga amat berbangga kerana dapat tinggal di asrama ini selama 4 tahun. Saya menduduki dua pepriksaan penting ketika di SMKT, pertama Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada tahun 1980 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1982. Selepas SPM saya pulang ke Kuala Lumpur untuk tinggal bersama keluarga. Di Kuala Lumpur saya mengenali kawan baru yang tinggal di Kem Wardieburn. Selepas keputusan SPM diumumkan saya lulus dengan mendapat pangkat 2. Dulu kelulusan dikira berdasarkan pangkat 1-3. Bila mendapat pangkat 3 seseorang itu perlu mengulangi pengaiannya atau memperbaiki kelulusan dengan mengambil peperiksaan kertas Julai, samada Bahasa Malaysia atau Matematik.

SAya bernasib baik kerana mendapat tawaran menyambung pengajian diperingkat Diploma di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Selama 4 tahun saya bertungkus lumus dan akhirnya berjaya menamatkan pengajian dalam Pengajian Bank. Dengan kejayaan itu saya mendapat tawaran bekerja dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera. Alhamdulillah rezeki amat mudah ketika itu.

Ramai dari kawan saya yang telah berjaya dalam kehidupan masing-masing. Ada yang menajadi Naib Canselor, ada yang menajadi doktor, pegawai tentera dan sebagainya. Tidak kurang juga yang telah berjaya dalam bidang perniagaan, sehingga menjadi ahli korporat. Belum ada yang menjadi ahli politik atau digelar YB. Walau bagaimanapun, tidak semua yang bernasib baik, ada yang gagal dan masih terumbang-ambing, cuma bilangan mereka adalah kecil berbanding dengan yang berjaya. Saya bersyukur kerana saya termasuk dalam golongan yang berjaya dalam kehidupan. Walaupun telah beberapa kali bertukar pekerjaan, rezeki saya masih dipermudahkan.

Umur terus meningkat dan kini saya telah menjangkau usia 45 tahun. Saya memiliki sebuah keluarga yang bahagia, memiliki seorang isteri dan seorang anak yang baru berusia 17 tahun. Walaupun saya memiliki semua yang disebutkan, tidak bermakna saya bebas dari sebarang penyakit moden yang datang tidak kira pada usia mana. Penyakit akan mula menyerang kita bila kita tidak mengamalkan pemakanan yang seimbang dan kurang bersenam. Penyakit moden ini berpunca dari makanan yang kita makan setiap hari. Ada berbagai jenis makanan segera, dari KFC, McD, Pizza dan berbagai lagi sehinggalah mee segera dan bubur segera. Dah ramai pun yang mati segera gara-gara makanan dan minuman segera yang terdapat dalam pasaran di negara kita.

Saya memulakan kerjaya bersama Lembaga Tabung Angkatan tentera (LTAT) dan sekarang ini dengan sebuah syarikat swasta. Syukur alhamdulilah setakat ini saya telah melalui liku-liku kehidupan dengan penuh tabah dan sabar. Pernah orang berkata hidup ini ibarat roda, sekejap di atas dan sekejap di bawah mengikut putaran roda tersebut. Begitu juga kehidupan saya. Tidak semuanya indah. Pernah berada dipuncak jaya, dan pernah juga jatuh gara-gara ikutkan kawan dan naluri ingin cepat kaya. Semua itu adalah sifat semulajadi manusia yang tidak pernah cukup dengan apa yang ada, dan tidak pernah belajar dari kesilapan. Kejatuhan sering menjadi guru kepada kita supaya lebih berhati-hati dalam apa jua yang mendatang. Berhati-hati dalam memilih kawan, terutama kawan yang menjanjikan keuntungan berlipat ganda. Kawan seperti inilah yang akan membawa kita kelembah hitam. Lembah yang akan mencemarkan diri kita, dan mungkin maruah kita.

Saya berkawan dengan berbagai lapisan kehidupan. Tetapi tidak sampai terjerumus dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang. Saya tidak pernah terlibat dengan gejala dadah atau apa-apa jenayah. Saya juga tidak berminat untuk bermusuh dengan sesiapa. Semua yang datang dan ingin berkawan saya terima dengan ahati terbuka. Saya tidak memilih yang kaya saja. Saya juga tidak menolak yang susah. OKU pun menjadi kawan saya. Saya perlukan kawan dan hidup ini tidak sunyi bila ada ramai kawan.

Kejayaan demi kejayaan dicapai. Impian menjadi nyata. Saya memiliki segala keperluan dalam kehidupan di kota meropolitan ini. Malangnya saya mula lupa siapa saya dan apa tanggungjawab yang perlu saya lakukan sebagai hamba. Saya diwajibkan mengerjakan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan Allah. Saya lalai. Saya tidak melakkukan seperti sepatutnya. Siang dan malam saya mencari kawan dan kekayaan. Saya memberi pertolongan kepada kawan yang memerlukan. Akhirnya saya yang kena tanggung segala hutang piutang kawan. Kawan juga sering menjadi faktor kepada kegagalan atau kejayaan kita. Mereka juga berperanan menjatuhkan kita. Dalam ramai kwan kita tidak semuanya berhati baik, tidak semuanya jujur . Tidak semuanya ikhlas berkawan dengan kita. Ada yang cuba mengambil kesempatan, ada yang iri hari dan tidak kurang yang memiliki perasaan hasad dan dengki dengan kemampuan dan kebolehan kita.Berbagai cara dilakukan untuk menjatuhkan kita. Mereka sanggup berbuat apa saja demi matlamat mereka. Matlamat menghalalkan cara. Kawan datang dan pergi silih berganti. Kawan ketika suka memang ramai. Tapi susahnya kita mencari dan mendapatkan kawan yang sanggup bersama kita ketika susah, ketika kita menangis, ketika berduka, ketiaka kecewa, ketika kita jatuh, ketika saat kita tidak memiliki apa-apa. Adakh kita memiliki kawan yang sebegini, siapa, adakah dia bersama kita sekarang ini......????? Mungkin ada, carilah menggunakan hati, bukan menggunakan mata dan telinga kerana kadang-kadang apa yang kita lihat dan apa yang kita dengar bukan seperti yang kita harapkan. Kawan sejati adalah kawan yang memiliki hati yang tulus ikhlas dan mereka jujur dalam setiap tingkahlaku, perbuatan, lebih-lebih lagi dari kata-katanya. Kawan seperti ini hatinya bersih, bukan ada perasaan hasad dan dengki.

Bersambung di Bahagian Kedua.





No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.