Wednesday, June 8, 2011

Mencari Erti Persahabatan - Bahagian Kedua

Terlebih dahulu saya memohon maaf kerana membiarkan bahagian kedua selepas beberapa lama menyepi. Bukan apa, kadang-kadang tuntutan kerja yang semakin bertambah dan juga peredaran masa yang begitu pantas menyebabkan saya terpaksa menangguhkannya. Walaupun tertangguh saya akan cuba habiskan bahagian kedua ini dalam masa terdekat.

Berbalik kepada soalan No. 3 dalam bahagian pertama, bilakah kita menganggap seseorang itu sebagai sahabat sejati?

Dalam bahagian pertama saya telah huraikan dengan panjang lebar erti persahabatan dan siapakah yang menjadi sahabat kita sejak dari zaman kanak-kanak sehingga sekarang. Tentunya kita mempunyai ramai sahabat dan mereka ini terdiri dari berbagai kaum, bangsa dan budaya hidup. Kita tidak berapa memilih untuk berkawan dengan sesiapa saja asalkan seseorang itu baik dan jujur sekadar yang kita tahu. Dalam ramai-ramai kawan kita tentunya ada yang cuba mengambil kesempatan terhadap diri kita. Ada yang mulanya baik tetapi berlainan selepas beberapa bulan atau tahun berkawan dengan kita. Ada yang awal-awal lagi telah menunjukkan sikap sebenar atau siapa dirinya? Kalau begini kita mudah membuat keputusan samada untuk terus berkawan atau meninggalkannya. Ada yang berpura-pura baik tetapi sebenarnya mempunyai niat yang jahat seperti musang berbulu ayam atau gunting dalam lipatan.

Begitulah lumrah sebuah kehidupan. Bukan setakat hitam dan putih tetapi dipenuhi dengan pelbagai warna yang menyebabkan kita terpaksa melaluinya walaupun dengan suka atau duka. Dalam mencari erti sebuah persahabatan, kita banyak belajar dari setiap apa yang telah kita lalui. Pengalaman ini kadang-kadang menjadi guru yang baik tetapi kadang-kadang kita lupa bila terlalu taksub dengan penampilan seseorang kawan baru. Akhirnya kita kecundang dan tewas dengan seribu keksalan.

Bukan semua kawan-kawan yang ditemui mempunyai sikap buruk atau perangai jahat, tetapi yang baik ini sukar untuk dicari. Permata di antara kaca-kaca inilah yang kita anggap kawan atau sahabat sejati. Bukan satu malah ramai yang boleh dianggap sebagai sahabat sejati.

Untuk mencaari dan menemui sahabat sejati kita perlu melalui proses yang panjang dan tidak semua oarng berjaya dalam pencarian ini. Kalau berjaya mungkin sekadar menemui haya seorang sahabat sejati dan yang lainnya merupakan sahabat biasa. Sahabat sejati akan kekal untuk selamanya walaupun beberapa rintangan terpaksa dilalui. Mereka tidak pernah rasa kecewa atau berputus asa. Mereka akan terus bersama ketika suka dan duka. Ketika susah dan senang. Mereka salaing memerlukan. Mereka akan bersama sehingga ke akhir hayat. Itulah sahabat sejati.

akan bersambung seketika nanti.....

Sunday, April 3, 2011

46 Tahun


Dah 46 tahun kita rupanya

Masa berlalu begitu pantas tanpa menunggu kita. Usia kita meningkat lagi dan kali ini menjangkau angka ke 46 tahun. Dalam usia begini kita tidak lagi aktif seperti dulu. Segalanya terbatas dan perlu berhati-hati dalam mengatur langkah dan pergerakan bagi mengelak dari tersilap dan mungkin risikonya amat tinggi.

Apabila kita melangkah ke usia 46 tahun bermakna kita juga telah berjaya melalui tempoh 45 tahun sebagai seorang insan, sebagai pelajar sekolah rendah, menengah, universiti dan alam pekerjaan. Berbagai bidang pekerjaan yang telah dan sedang kita lalui. Pengalaman juga berbeza. Kehidupan juga ada berbagai. Ada antara rakan-rakan yang telah kembali kepada Penciptanya, Al-Fatihah untuk mereka semoga ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Alhamdulillah kita masih berada dibumi Allah sebagai hambanya yang begitu kerdil. Kita juga menjadi seorang ayah, seorang ibu dan ada yang masih menjadi diri sendiri. Alangkah gembiranya dalam usia yang sebegini kita dipertemukan dengan rakan-rakan yang pernah sama-sama belajar, bekerja, berjuang dan apa saja yang pernah dilalui bersama. Selepas 45 tahun juga pertemuan demi pertemuan dengan rakan-rakan sekolah diatur bagi mengeratkan lagi hubungan yang sekian lama terhenti selepas meninggalkan alam persekolahan.

Kegembiraan terbayang diwajah rakan-rakan bila pertama kali bertemu dalam sesi perjumpaan atau kami panggil mengeteh bersama dimana yang sesuai dengan masa dan tempat dan mudah untuk dikunjungi oleh rakan-rakan. Kenapa selepas 27-28 tahun baru kita semua memulakan langkah untuk mencari rakan-rakan? Kenapa tidak dibuat sejurus selepas tamat persekolahan, atau selepas 5, 10, 15 tahun? Kenapa kena tunggu sekian lama? Apakah tiada inisiatif diambil bagi mencari dan mengumpulkan semua rakan-rakan?

Walau apapun hari ini kita telah menemui sebahagian dari rakan-rakan lama dan ternyata amat gembira sekali. Teruskan usaha kerana dalam perjalanan menuju usia 50, 60 dan mungkin 70 tahun segala kemungkinan boleh berlaku. Biarlah ruang yang ada ini dapat kita kongsi bersama sekadar yang termampu.



Saturday, April 2, 2011

Petemuan Dengan Rakan Sekolah

Tanggal 1.4.2011 pertemuan dengan rakan sekolah di Metro Point, Kajang. 12 orang dapat dikumpulkan dalam perjumpaan kali ini. Antara yang pertama kali hadir ialah Nor Aliza Haron, Azziah Bakrin, Rosliza Ibrahim dan Azizuddin Kamaruddin (tiada dalam gambar). Beliau terlewat kerana terpaksa menyelesaikan tugasan terlebih dahulu. Saya akan masukkan gambar beliau selepas ini. Terima kasih kepada semua rakan-rakan yang sudi meluangkan masa untuk ke Kajang. Saudara Hasan dan Suhaimi datang dari Batu Gajah, Perak. Azziah dari Rawang dan saudara Sheh Wira memandu dari Senawang. Semua begitu komited untuk ke perjumpaan kali ini.


Perjumpaan selama 3 jam setengah meninggalkan kesan yang mendalam kerana inilah pertemuan pertama selepas 28 tahun kami meninggalkan alam pesekolahan. Kami semua berada dalam satu kelas iaitu 5 Sastera. Dalam kelas tersebut terdapat seramai 32 orang. Bakinya masih dicari dan insyallah akan ditemui tidak lama lagi. Semoga perjumpaan akan datang dapat mengumpulkan lebih ramai rakan-rakan kita. Syabas dan tahniah kepada semua.