Monday, December 13, 2010

Memancing Di Pulau Aman

Pengalaman pertama memancing di laut bersama rakan-rakan APAT selama dua hari di Pulau Aman, Pulau Pinang. Aktiviti bermula pada petang Sabtu 11/12/2010 dan berakhir pada petang Ahad 12/12/2010.

Pejalanan dari Kuala Lumpur bersama Capt Sheh Wira bermula pada malam Sabtu dan singgah di Batu Gajah, Perak melawat seorang rakan yang ada kompilasi jantung iaitu Suhaimi Nor Ali (Damak). Kami sempat minum dan berbual dengan Suhaimi dan Ir Hasan. Kami bermalam di rumah Ir Hasan sebelum meneruskan perjalanan ke Batu Kawan.

Ir Hasan adalah seorang bekas anggota tentera yang baru saja menamatkan perkhidmatanya dengan Angkatan Tentera Malaysia selama hampir 23 tahun dan kini menetap di Batu Gajah. Tidak banyak yang dapat diceritakan mengenai latar belakang Ir Hasan tetapi kini beliau meneruskan kehidupan sebagai orang awam biasa dan belum memikirkan apa yang akan dilakukan seterusnya. Kami menucapkan selamat maju jaya dalam apa jua yang akan dilakukan.

Walaupun kami mempunyai jadual yang agak ketat namun kami masih sempat bersarapan bersama Suhaimi dan Ir Hasan sebelum ke Ipoh utuk bertemu dengan beberapa orang lagi rakan-rakan APAT yang akan menyertai aktiviti memancing nanti. Persinggahan seterusnya sebelum ke destinasi memancing kami singgah di Medan Kidd, Ipoh bertemu dengan Mohd Nor Abdullah aka Cino. Beliau menjalankan perniagaan bengkel membaiki kereta dan nampaknya perniagaan berjalan lancar dan banyak kereta-kereta yang sedang diperbaiki. Kebetulan juga kumpulan Nik Zainudin pun singgah di bengkel tersebut dan kami sempat bertemu dengan Zairol Hisham dan Sallehudin Taib. Mereka tiba di Ipoh pukul 7.30 pagi. Kami juga sempat makan tengahari bersama dan terasa begitu gembira sekali kerana dapat merasai kenangan semasa makan ramai-ramai di APAT dulu. Kami menjamu selera hingga kenyang. Terima kasih kepada Mohd Nor yang sudi belanja kami dan makanan di restoran tersebut amat sedap dan menyelerakan.

Selepas menjamu selerea kami meneruskan perjalanan ke Batu Kawan. Perjalanan biasa mengambil masa selama satu jam setengah. Kami singgah di hentian Sungai Perak untuk solat jamak zohor dan asar. Semasa di hentian tersebut hujan mulai turun. Perjalan diteruskan juga dan hujan semakin lebat sehingga ke Gunung Semanggol berdekatan Bukit Merah. Perjalan agak perlahan kerana hujan lebat dan pemandangan amat terhad. Kenderaan menuju ke utara juga bertali arus dan terdapat satu kemalangan berhampiran dengan kilang simen YTL. Berlaku sedikit kesekan di kedua-dua laluan di lebuhraya tersebut kerana ramai pemandu yang memperlahankan kenderaan utuk melihat kemalangan yang berlaku di laluan bertentangan.

Alhamdulillah, akhirnya kami tiba di perkarangan rumah Adami pada pukul 5.15 petang. Adami, Haidan dan beberapa orang sahabatnya menyambut ketibaan kami. Mereka begitu teruja sekali dan tidak sabar-sabar untuk ke Pulau Aman. Adami juga sempat menyediakan minum petang untuk kami semua. Terima kasih diucapkan dan mee tersebut memang sedap.

Akhirnya kami tiba di jeti untuk ke Pulau Aman. Walaupun agak terlewat, namun bot yang disewa tetap menanti ketibaan kami. Inilah antara rakan-rakan yang menyertai aktiviti memancing di Pulau Aman. Kami sempat bergambar kenangan di jeti sebelum berlepas ke Pulau Aman.

Perjalanan ke Pulau Aman dengan bot mengambil masa selama 10 minit dan kami selamat tiba di jeti Pulau Aman pukul 7.00 malam. Selepas daftar masuk, kami menyediakan peralatan memancing kerana aktiviti akan bermula pada pukul 9.00 malam. Setelah memastikan segala peralatan tersedia, kami menyempurnakan solat jamak maghrib dan isyak sebelum turun ke laut untuk memancing. Sekali lagi sebelum pergerakan diteruskan kami semua memohon doa agar aktiviti ini dpat dijalankan dengan baik dan sempurna serta dijauhi segala bencana yg tidak diingini.

Selepas doa kami melangkah terus ke jeti kerana bot sedang menunggu. Perjalanan dari chalet ke jeti mengambil masa selama 5 minit. Tetapi sebelum itu kami singgah mengambil makanan yang telah ditempah. Kami menikmati makan malam di atas bot, dalam perjalanan menuju destinasi memancing. Air laut sedang surut dan perjalan agak lancar tanpa sebarang masalah.

bersambung....


Wednesday, December 1, 2010

Perbezaan Latah dan Melatah

Adakah latah dan melatah ini sejenis penyakit? Ada yang menganggap demikian dan ada juga yang mengatakan ianya hanya tabiat seseorang. Sering kita dengar latah ini dikaitkan dengan kelompok atau golongan orang melayu. Orang yang latah ini terdiri dari berbagai lapisan umur, tidak kira yg muda atau yang tua. Lelaki mahupun wanita. Di bandar atau didesa, pasti ada yang latah.

Melatah pula adalah perbuatan dari orang yang mempunyai tabiat tadi. Dia melatah apabila diganggu oleh seseorang. Ada yang suka menyakat, ada yang suka mencuit, dan berbagai lagi untuk membuatkan orang latah melatah. Melatah terjadi dengan tiba-tiba. Bukan secara suka-suka. Melatah tidak terjadi tanpa sebab. Orang yang latah akan melatah bila ada yang mebuatkan dia melatah.

Kenapa seseorang itu suka menyakat orang yang latah? Mereka suka melihat orang latah ini melatah. Bila melatah suasana akan jadi riuh rendah. Ada yang akan gembira melihat orang latah yang sedang melatah. Mungkin kelakar atau mungkin pelik degan gaya dan tingkah laku orang yang sedang melatah itu. Ketika melatah mereka tidak sedar, seolah-olah seperti berada dlam keadaan dirasuk. Mereka tidak tahu apa yang diperkatakan. Mereka tidak tahu apa yang sedang mereka buat. Berbagai kata-kata dan perbuatan yang kadang-kadang kita sendiri tidak boleh terima dan tidak sanggup melihatnya. Ada yang tanggalkan pakaian, ada yang mencederakan diri sendiri dan ada yang bertindak ganas ke atas orang lain. Semuanya kerana mereka tidak sedar apa yang sedang mereka lakukan.

Dalam arus pemodenan  yang dilengkapi dengan pelbagai teknologi ini, ada orang yang melatah di dalam laman sosial. Tak tahu kenapa dan apakah yang menyebabkan seseorang itu melatah? Mungkin kerana disakat atau dicucuk oleh seseorang yang ingin melihat kelakuan orang lain bila melatah. Mungkin juga ingin cuba menarik perhatian sesuatu kumpulan atau orang persaorangan yang mempunyai kaitan atau untuk mengirim sesuatu protes atau rasa tidak puashati. Berbagai sebab dan andaian boleh dibuat untuk mencari kenapa seseorang itu melatah.

Latah dan melatah bukanlah satu kesalahan. Tetapi tempat dan cara seseorang itu melatah mungkin boleh mendorong atau mempengaruhi orang lain. Sebelum seseorang itu melatah di laman sosial seperti facebook atau twitter, fikirlah tentang kebaikan dan keburukannya. Apakah perlu melatah untuk mencapai sesuatu matlamat? Matlamat siapa? Diri sendiri atau orang lain?. Jangan diri dipergunakan oleh orang lain yang berkepentingan. Jadilah insan yang lebih bertanggungjawab dalam melakukan sesuatu samada dengan melatah atau pun tidak. Gunakanlah segala kebijaksanaan akal fikiran yang dikurniakan oleh Allah untuk kebaikan diri sendiri dan juga kebaikan insan lain. Tidak rugi berbuat baik sesama insan. Tidah rugi juga kalau dapat menyatukan dan mengeratkan silaturrahim. Tidak rugi kalau tidak mengambil tidakan yang tidak perlu dengan pura-pura melatah.



Monday, November 29, 2010

Mencari Erti Persahabatan - Bahagian Pertama

Biarlah tulisan kali ini dimulakan dengan beberapa soalan, antaranya:
1. Apakah yang dimaksudkan dengan persahabatan?
2. Bagaimana persahabatan terjalin?
3. Bilakah kita menganggap sahabat itu sebagai sahabat sejati?

Selepas kita dilahirkan ke dunia ini kita akan membesar dari seorang bayi hingga menjadi seorang kanak-kanak. Semasa zaman kanak-kanak kita telah bertemu dan mengenali kawan atau sahabat. Begitulah seterusnya hingga kita menjadi dewasa. Kita melalui zaman persekolahan, memasuki kolej atau universiti dalam negara ataupun yang lebih bernasib baik dapat ke universiti luar negara. Ada yang menyebut kawan zaman kanak-kanak, kemudian kawan zaman persekolahan hinggalah kawan seuniversiti. Selepas tamat pengajian, kita memulakan kerjaya, baik disektor awam, swasta atau mungkin ada yang memulakan perniagaan sendiri. Tidak kurang juga yang menguruskan perniagaan keluarga. Sekali lagi kita akan mendapat kawan sekerja, rakan kongsi perniagaan. Kita juga berada dalam sebuah masyarakat atau komuniti, kita akan temui lebih ramai lagi kawan. Tetapi tidak semua kawan itu akan menjadi kawan sejati kita. Seseorang individu itu saja yang tahu siapakah kawan sejatinya.

Zaman persekolahan ada diantara kita yang tinggal di asrama, samada arama biasa atau asrama penuh. Mereka pandai dan bijak, mendapat keputusan cemerlang dalam akademik saja yang layak memasuki asrama penuh. Kehidupan di asrama memang menyeronokkan. Berbagai peristiwa dan kenangan manis dan pahit yang tidak dapat dilupakan. Kita tinggal sebumbung, makan makanan yang sama, melakukan aktiviti yang sama. Kita belajar berdikari, belajar menguruskan diri sendiri. Kita temui lagi, kawan yang pernah tinggal satu asrama. Di asrama terbahagi kepada kawan senior dan kwan junior. Kita sering menjadi mangsa buli kepada senior. Walaupun teruk dibuli, kita tidak pernah berdemdam dengan senior. Satu hari pasti kita akan bertemu semula. Mungkin di tempat-tempat awam seperti pasar raya, dalam perhimpunan parti politik, di restoran, kedai kopi atau di mana saja. Mungkin bermula dari pertemuan singkat itu hubungan kita akan terjalin semula. Tidak kira berapa lama terpisah, tertapi kita masih mampu utuk rasa gembira dengan pertemuan semula itu.

Kita dipisahkan dengan kwan-kawan oleh peredaran masa. Kita mulakan kerjaya, kita berkahwin, kita medapat cahaya mata. KIta mula berpindah dari satu tempat ke satu tempat, dari sebuah negeri ke sebuah negeri. Mungkin ada yang berhijrah ke luar negara. SAban hari kita bertemu dengan kawan baru. Ada yang datang dan ada yang pergi, begitlah lumrah kehidupan. Silih berganti, ibarat siang dan malam. Kita menemui kawan baru dan kawan lama mulai menghilang diri. Bukan merajuk tetapi kerana faktor masa dan tempat. Kita mula fokus kepada kehidupan bekeluarga dan kerjaya yang perlukan komitmen yang tinggi. Kita sering lupa untuk hubungi kawan-kawan lama. Lantaran itulah kehilangan sementara itu amat terasa dan bila kita sedari kehilangan mereka, kita akan mula mencari. Pencarian yang panjang dan mungkin sukar. Ada yang kita temui semula dan ada yang belum ditemui. Ada juga yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Al-Fatihah untuk kawan-kawan yang tak sempat ditemui, dengan iringan doa agar roh mereka ditempatkan bersama orang-orang yang soleh.

Dulu kemajuan teknologi begitu terhad. Alat perhubungan utama adalah telefon rumah atau telefon awam. Selain dari itu kita menghantar surat, telegram atau poskad kepada kawan kita. Sekarang teknologi semain maju dan canggih. Selepas komputer diperkenalkan, teknologi terus berkembang pesat terutama dalam teknologi maklumat dan perhubungan (Information, Communication Tecnology (ICT)). Kita diperkenalkan dengan handphone, sms, mms, email dan sekarang ini rangakain sosial seperti facebook, twitter, myspace dan macam-macam lagi. Dulu kita hanaya boleh mendengar suara. Dengan teknologi  3G, kita boleh membuat panggilan video dan boleh berbual dengan kawan diseluruh dunia dengan mudah. Terima kasih kepada kerajaan yang telah membawa kemajuan ini ke negara kita. Penggunaan facebook banyak memberi kelebihan kepada kita. Mudah untuk mencari kawan-kawan lama. Saya sendiri mula mengenali rangkaian sosial ini pada awal 2010. Selepas menggunakan facebook saya temui semula kawan dari zaman kanak-kanak hinggalah kepada kawan sekerja yang pernah sama-sama bekerja di sekitar Kuala Lumpur. Pertemuan demi pertemuan dan kini ramai yang telah menjadi kawan di facebook. Ada juga yang berkawan melalui twitter. Saya tidak berminat dengan myspace. Hanya dua rangkaian sosial yang menjadi pilihan.

Dalam tempoh 28 tahun selepas meninggalkan alam persekolahan, saya telah berusaha untuk mencari dan mengumpulkan kawan lama. Malangnya kekangan masa dan perhubungan yang terhad ketika itu, impian tersebut dihentikan seketika. Bermula tahun 2010, selepas memiliki akaun facebook, saya mula menemui bebrapa orang kawan sekolah sekitar tahun 1979-1982. Ketika itu saya bersekolah di Sekolah Menengah Kem terendak, Melaka (SMKT). Saya tinggal di Asrama Putera Angkatan Tentere (APAT), juga di Kem Terendak. Jadi saya ada kawan sekolah dan kawan asrama. Saya bangga menjadi pelajar di SMKT dan juga amat berbangga kerana dapat tinggal di asrama ini selama 4 tahun. Saya menduduki dua pepriksaan penting ketika di SMKT, pertama Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada tahun 1980 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1982. Selepas SPM saya pulang ke Kuala Lumpur untuk tinggal bersama keluarga. Di Kuala Lumpur saya mengenali kawan baru yang tinggal di Kem Wardieburn. Selepas keputusan SPM diumumkan saya lulus dengan mendapat pangkat 2. Dulu kelulusan dikira berdasarkan pangkat 1-3. Bila mendapat pangkat 3 seseorang itu perlu mengulangi pengaiannya atau memperbaiki kelulusan dengan mengambil peperiksaan kertas Julai, samada Bahasa Malaysia atau Matematik.

SAya bernasib baik kerana mendapat tawaran menyambung pengajian diperingkat Diploma di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Selama 4 tahun saya bertungkus lumus dan akhirnya berjaya menamatkan pengajian dalam Pengajian Bank. Dengan kejayaan itu saya mendapat tawaran bekerja dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera. Alhamdulillah rezeki amat mudah ketika itu.

Ramai dari kawan saya yang telah berjaya dalam kehidupan masing-masing. Ada yang menajadi Naib Canselor, ada yang menajadi doktor, pegawai tentera dan sebagainya. Tidak kurang juga yang telah berjaya dalam bidang perniagaan, sehingga menjadi ahli korporat. Belum ada yang menjadi ahli politik atau digelar YB. Walau bagaimanapun, tidak semua yang bernasib baik, ada yang gagal dan masih terumbang-ambing, cuma bilangan mereka adalah kecil berbanding dengan yang berjaya. Saya bersyukur kerana saya termasuk dalam golongan yang berjaya dalam kehidupan. Walaupun telah beberapa kali bertukar pekerjaan, rezeki saya masih dipermudahkan.

Umur terus meningkat dan kini saya telah menjangkau usia 45 tahun. Saya memiliki sebuah keluarga yang bahagia, memiliki seorang isteri dan seorang anak yang baru berusia 17 tahun. Walaupun saya memiliki semua yang disebutkan, tidak bermakna saya bebas dari sebarang penyakit moden yang datang tidak kira pada usia mana. Penyakit akan mula menyerang kita bila kita tidak mengamalkan pemakanan yang seimbang dan kurang bersenam. Penyakit moden ini berpunca dari makanan yang kita makan setiap hari. Ada berbagai jenis makanan segera, dari KFC, McD, Pizza dan berbagai lagi sehinggalah mee segera dan bubur segera. Dah ramai pun yang mati segera gara-gara makanan dan minuman segera yang terdapat dalam pasaran di negara kita.

Saya memulakan kerjaya bersama Lembaga Tabung Angkatan tentera (LTAT) dan sekarang ini dengan sebuah syarikat swasta. Syukur alhamdulilah setakat ini saya telah melalui liku-liku kehidupan dengan penuh tabah dan sabar. Pernah orang berkata hidup ini ibarat roda, sekejap di atas dan sekejap di bawah mengikut putaran roda tersebut. Begitu juga kehidupan saya. Tidak semuanya indah. Pernah berada dipuncak jaya, dan pernah juga jatuh gara-gara ikutkan kawan dan naluri ingin cepat kaya. Semua itu adalah sifat semulajadi manusia yang tidak pernah cukup dengan apa yang ada, dan tidak pernah belajar dari kesilapan. Kejatuhan sering menjadi guru kepada kita supaya lebih berhati-hati dalam apa jua yang mendatang. Berhati-hati dalam memilih kawan, terutama kawan yang menjanjikan keuntungan berlipat ganda. Kawan seperti inilah yang akan membawa kita kelembah hitam. Lembah yang akan mencemarkan diri kita, dan mungkin maruah kita.

Saya berkawan dengan berbagai lapisan kehidupan. Tetapi tidak sampai terjerumus dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang. Saya tidak pernah terlibat dengan gejala dadah atau apa-apa jenayah. Saya juga tidak berminat untuk bermusuh dengan sesiapa. Semua yang datang dan ingin berkawan saya terima dengan ahati terbuka. Saya tidak memilih yang kaya saja. Saya juga tidak menolak yang susah. OKU pun menjadi kawan saya. Saya perlukan kawan dan hidup ini tidak sunyi bila ada ramai kawan.

Kejayaan demi kejayaan dicapai. Impian menjadi nyata. Saya memiliki segala keperluan dalam kehidupan di kota meropolitan ini. Malangnya saya mula lupa siapa saya dan apa tanggungjawab yang perlu saya lakukan sebagai hamba. Saya diwajibkan mengerjakan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan Allah. Saya lalai. Saya tidak melakkukan seperti sepatutnya. Siang dan malam saya mencari kawan dan kekayaan. Saya memberi pertolongan kepada kawan yang memerlukan. Akhirnya saya yang kena tanggung segala hutang piutang kawan. Kawan juga sering menjadi faktor kepada kegagalan atau kejayaan kita. Mereka juga berperanan menjatuhkan kita. Dalam ramai kwan kita tidak semuanya berhati baik, tidak semuanya jujur . Tidak semuanya ikhlas berkawan dengan kita. Ada yang cuba mengambil kesempatan, ada yang iri hari dan tidak kurang yang memiliki perasaan hasad dan dengki dengan kemampuan dan kebolehan kita.Berbagai cara dilakukan untuk menjatuhkan kita. Mereka sanggup berbuat apa saja demi matlamat mereka. Matlamat menghalalkan cara. Kawan datang dan pergi silih berganti. Kawan ketika suka memang ramai. Tapi susahnya kita mencari dan mendapatkan kawan yang sanggup bersama kita ketika susah, ketika kita menangis, ketika berduka, ketiaka kecewa, ketika kita jatuh, ketika saat kita tidak memiliki apa-apa. Adakh kita memiliki kawan yang sebegini, siapa, adakah dia bersama kita sekarang ini......????? Mungkin ada, carilah menggunakan hati, bukan menggunakan mata dan telinga kerana kadang-kadang apa yang kita lihat dan apa yang kita dengar bukan seperti yang kita harapkan. Kawan sejati adalah kawan yang memiliki hati yang tulus ikhlas dan mereka jujur dalam setiap tingkahlaku, perbuatan, lebih-lebih lagi dari kata-katanya. Kawan seperti ini hatinya bersih, bukan ada perasaan hasad dan dengki.

Bersambung di Bahagian Kedua.





Saturday, November 20, 2010

Mesyuarat AJK Persatuan Bekas Pelajar SMKT

Pada 20/11/2010 saya mempengerusikan mesyuarat AJK Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Menengah Kem Terendak (SMKT) Melaka dan beberapa keputusan telah dibuat, antaranya:
1. Menetapkan tarikh Mesyuarat Agong Tahunan (AGM) Pertama pada 19/2/2011. Tarikh yang paling sesuai selepas permulaan sesi persekolahan dan sambutan Tahun Baru Cina. Ahli-ahli persatuan akan mengundi untuk memilih AJK baru sesi 2011-2013.
2. Menubuhkan Tabung Khas untuk mengutip dana bagi membantu bekas pelajar yang kurang bernasib baik seperti menghulurkan bantuan kepada yang mengalami sakit kronik.
3. Mengariskan beberapa kaedah untuk mencari sumber kewangan persatuan.

Sebelum itu saya juga mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada semua AJK yang telah bertungkus lumus menyediakan segala keperluan dan dokumen berkaitan pendaftaran persatuan sehingga persatuan berjaya ditubuhkan.

Persatuan juga akan menjalankan kempen bagi menambah ahli mulai tahun 2011. Program jejak kasih akan diteruskan seperti biasa.

Tuesday, November 16, 2010

IBADAH KORBAN

Ibadah korban adalah sinonim dengan dengan Aidiladha atau hari raya haji. Hukumnya sunat muakad, sunnah yang digalakkan atau dituntut ke atas setiap individu muslim yang baligh, berakal, berkemampuan dan merdeka. "Maka kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai tanda bersyukur" (Al-Kautsar:2).

Ibadah korban bermaksud menyembelih haiwan yang tertentu dari ternakan seperti unta, lembu, kerbau, biri-biri dan kambing pada hari raya haji 10 Zulhijah dan pada hari Tasyrik 11,12 dan 13 Zulhijah kerana mendekatkan diri (bertaqarrub) kepada Allah.

Ibadah korban mempunyai nilai ganjaran pahala yang besar seperti yang dijanjikan oleh Allah SWT. Sabda Rasulullah yang bermaksud, "Tidak ada amalan yang dilakukan anak Adam pada Aidiladha yang lebih disukai oleh Allah melainkan menumpahkan darah (menyembelih binatang korban). Sesungguhnya binatang korban itu akan datang pada hari kiamat bersama tanduk, kuku dan bulunya dan Allah memberikan pahala ibadah korban itu sebelum darah binatang korban itu jatuh ke bumi. Oleh itu elokkanlah korban kamu" (Hadis riwayat at Tirmidzi dan Ibnu Majah).

Ibadah korban akan  menjadi landasan terbaik sebagai persiapan diri menghadapi cabaran yang merupakan lambang ketakwaan sesorang hamba kepada Allah. Ibadah korban itu mestilah dilakukan dengan hati yang tulus dan ikhlas dan penuh ketakwaan.

Sehubungan dengan itu, umat islam sepatutnya meneruskan erti bekorban dalam kehidupan seharian bukan hanya semasa Aidiladha. Jika amalan bekorban dijadikan budaya, pasti kehidupan bermasyarakat dan bernegara akan lebih baik dan bermakna.




Monday, November 15, 2010

OBESITI

Saya terkejut bila mendengar dan membaca laporan mengatakan 60% rakyat Malaysia terlebih berat badan atau obes. Manakala separuh dari jumlah tersebut adalah kanak-kanak. Keadaan ini merangkumi semua peringkat umur dan peningkatan dari golongan kana-kanak amat membimbangkan. Punca yang menyebabkan obes ini ialah dari makanan dan gaya hidup yang kurang sihat.

Obes ini juga akan menjadi penyumbang utama kepada risiko penyakit-penyakit kronik seperti, jantung, diabetes, darah tinggi, buah pinggang dan barah. Penyakit jantung adalah pembunuh utama rakyat Malaysia. Diikuti oleh barah, buah pinggang dan akhir sekali diabetes.

Bagi mengelak dan mencegah dari penyakit-penyakit kronik tersebut, marilah kita sama-sama mengamalkan pemakanan seimbang dan mengamalkan gaya hidup sihat dengan melakukan aktiviti fizikal seperti bersukan dan bersenam.

http://putera258santai.blogspot.com/
http://putera258biz.blogspot.com/
http://putera258images.blogspot.com/

Sunday, November 14, 2010

PELANCARAN BLOG

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera

Saya akan membuat pelancaran rasmi blog ini pada 15 November 2011 bersamaan 8 Zulhijjah 1431H.

Selepas pelancaran saya akan mula aktif sebagai blogger. Saya akan menulis di dalam blog ini mengenai isu-isu berkaitan dengan apa yang saya lalui setiap hari atau paling tidak pun setiap minggu. Banyak pengalaman boleh dikongsi bersama dan saya harap ianya akan menjadi panduan dan tauladan untuk kita semua.

Saya juga akan cuba masukkan gambar-gambar berkaitan supaya blog ini penuh dengan informasi dan menarik untuk bacaan dan tatapan semua. Sekali lagi saya mengalu-alukan pandangan dari rakan-rakan supaya blog ini dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Sebagai insan yang baru hendak berkecimpung dalam bidang penulisan ini pastinya tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Sekiranya terdapat sebarang kekhilafan dalam tulisan yang mungkin juga menyinggung perasaan mana-mana pihak saya mohon maaf dan sedia menerima teguran demi untuk kebaikan bersama.

Saturday, November 13, 2010

SELAMAT DATANG

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.
Saya mengambil kesempatan ini utuk mengucapkan selamat datang ke blog saya http://putera258.blogspot.com/. Blog ini adalah blog peribadi yang memaparkan catatan harian, pengalaman, idea serta foto-foto untuk tatapan dan dikongsi bersama teman-teman yang mengenali saya. Komen-komen amat dialu-alukan untuk panduan dan penambah-baikkan blog ini.