Sunday, April 3, 2011

46 Tahun


Dah 46 tahun kita rupanya

Masa berlalu begitu pantas tanpa menunggu kita. Usia kita meningkat lagi dan kali ini menjangkau angka ke 46 tahun. Dalam usia begini kita tidak lagi aktif seperti dulu. Segalanya terbatas dan perlu berhati-hati dalam mengatur langkah dan pergerakan bagi mengelak dari tersilap dan mungkin risikonya amat tinggi.

Apabila kita melangkah ke usia 46 tahun bermakna kita juga telah berjaya melalui tempoh 45 tahun sebagai seorang insan, sebagai pelajar sekolah rendah, menengah, universiti dan alam pekerjaan. Berbagai bidang pekerjaan yang telah dan sedang kita lalui. Pengalaman juga berbeza. Kehidupan juga ada berbagai. Ada antara rakan-rakan yang telah kembali kepada Penciptanya, Al-Fatihah untuk mereka semoga ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Alhamdulillah kita masih berada dibumi Allah sebagai hambanya yang begitu kerdil. Kita juga menjadi seorang ayah, seorang ibu dan ada yang masih menjadi diri sendiri. Alangkah gembiranya dalam usia yang sebegini kita dipertemukan dengan rakan-rakan yang pernah sama-sama belajar, bekerja, berjuang dan apa saja yang pernah dilalui bersama. Selepas 45 tahun juga pertemuan demi pertemuan dengan rakan-rakan sekolah diatur bagi mengeratkan lagi hubungan yang sekian lama terhenti selepas meninggalkan alam persekolahan.

Kegembiraan terbayang diwajah rakan-rakan bila pertama kali bertemu dalam sesi perjumpaan atau kami panggil mengeteh bersama dimana yang sesuai dengan masa dan tempat dan mudah untuk dikunjungi oleh rakan-rakan. Kenapa selepas 27-28 tahun baru kita semua memulakan langkah untuk mencari rakan-rakan? Kenapa tidak dibuat sejurus selepas tamat persekolahan, atau selepas 5, 10, 15 tahun? Kenapa kena tunggu sekian lama? Apakah tiada inisiatif diambil bagi mencari dan mengumpulkan semua rakan-rakan?

Walau apapun hari ini kita telah menemui sebahagian dari rakan-rakan lama dan ternyata amat gembira sekali. Teruskan usaha kerana dalam perjalanan menuju usia 50, 60 dan mungkin 70 tahun segala kemungkinan boleh berlaku. Biarlah ruang yang ada ini dapat kita kongsi bersama sekadar yang termampu.



Saturday, April 2, 2011

Petemuan Dengan Rakan Sekolah

Tanggal 1.4.2011 pertemuan dengan rakan sekolah di Metro Point, Kajang. 12 orang dapat dikumpulkan dalam perjumpaan kali ini. Antara yang pertama kali hadir ialah Nor Aliza Haron, Azziah Bakrin, Rosliza Ibrahim dan Azizuddin Kamaruddin (tiada dalam gambar). Beliau terlewat kerana terpaksa menyelesaikan tugasan terlebih dahulu. Saya akan masukkan gambar beliau selepas ini. Terima kasih kepada semua rakan-rakan yang sudi meluangkan masa untuk ke Kajang. Saudara Hasan dan Suhaimi datang dari Batu Gajah, Perak. Azziah dari Rawang dan saudara Sheh Wira memandu dari Senawang. Semua begitu komited untuk ke perjumpaan kali ini.


Perjumpaan selama 3 jam setengah meninggalkan kesan yang mendalam kerana inilah pertemuan pertama selepas 28 tahun kami meninggalkan alam pesekolahan. Kami semua berada dalam satu kelas iaitu 5 Sastera. Dalam kelas tersebut terdapat seramai 32 orang. Bakinya masih dicari dan insyallah akan ditemui tidak lama lagi. Semoga perjumpaan akan datang dapat mengumpulkan lebih ramai rakan-rakan kita. Syabas dan tahniah kepada semua.