Wednesday, November 14, 2012

Pepatah Melayu: Gunting Dalam Lipatan, Musuh Dalam Selimut dan Musang Berbulu Ayam

Kita sering dengar pepatah seperti gunting dalam lipatan, musuh dalam selimut dan musang berbulu ayam. Kenapa pepatah seperti ini begitu sinonim dengan kehidupan seharian kita? Masyarakat melayu menggunakan alatan atau sesuatu yang mudah disebut seperti gunting, lipatan, musuh, selimut, musang dan ayam menjadikan pepatah ini senang diingati. Semua ini ada dalam kehidupan kita sehari-hari. Peranan saja berbeza. Kenapa gunting berada dalam lipatan? Kenapa musuh dalam selimut dan kenapa musang berbulu ayam? Persoalan ini perlu dikupas dengan telilti bagi mengambarkan hubungkaitnya dengan kehidupan terutama orang melayu dulu, sekarang dan akan datang.

1. Gunting Dalam Lipatan

Pepatah ini kita pelajari sejak dari sekolah rendah, menengah dan juga diperingkat yang lebih tinggi. Pepatah ini membawa makna yang mudah dan ringkas. Maknanya dalam bahasa mudah seperti membinasakan sahabat atau bangsa sendiri.
Gunting adalah objek tajam yang boleh digunakan untuk memotong kain, kertas, rambut dan apa saja yang lebut. Gunting tidak dapat memotong benda-benda keras seperti kayu, besi dan batu. Peliknya kenapa tidak ada pepatah yang berbunyi gunting dicelak kayu atau batu? Kenapa mesti dalam lipatan? Lipatan itu pula tidak disebut samada lipatan kain atau kertas. Paling penting sesuatu benda yang boleh dilipat. Bila berada dalam lipatan pastinya sukar untuk dilihat. Boleh mendatangkan bahaya kepada sesiapa saja kerana ketajaman gunting yang berada dalam lipatan itu boleh mencederakan anggota seperti tangan, kaki atau apa saja sekiranya tersepak, terpijak dan sebagainya. Gunting boleh menjadi alat membinasakan. Gunting ini ibarat sesuatu unsur yang boleh membinasakan sahabat atau sesuatu bangsa.


2. Musuh Dalam Selimut

Maksud pepatah ini adalah yang berada dekat, dalam kumpulan atau yang paling hampir dengan kita. Apakah motif musuh berada dalam selimut kita? Apakah mereka merancang sesuatu yang kita tidak sedari? Walau apapun inilah yang dikatakan musuh, mereka akan berbuat apa saja demi mencapai matlamat iaitu menghancurkan atau memusnahkan kita dengan apa cara sekalipun. Mungkin kerana hasad, dengki dan juga demdam yang membara. Mereka akan cuba sedaya upaya untuk berada dekat dengan kita. Musuh seperti ini amat sukar untuk dihidu atau dikesan kerana mereka bijak menggunakkan segala ruang dan persekitaran untuk menyelinap dalam kehidupan kita seharian.

Musuh seperti ini adalah musuh yang kita kenali. Sering bersama kita walau di mana saja. Mereka sebenarnya ada niat untuk melakukan sesuatu supaya seperti menggagalkan misi atau apa yang kita rancang. Mereka suka bila kita gagal dan kegagalan itu akan menyebabkan kita rugi atau terpaksa menanggung malu. Mereka tidak peduli soal hati dan perasaan kita. Mereka melakukannya tanpa ada rasa simpati atau belas kasihan. Mereka hanya tahu kita akan gagal, musnah dan hancur. Mungkin kosnya juga terlalu tinggi. Mungkin ada yang terpaksa mempertaruhkan nyawa. Tetapi musuh seperti ini tidak peduli walaupun terpaksa merampas segala milik kita demi perjuangan dan matlamat mereka.


3. Musang Berbulu Ayam

Kenapa musang saja yang berbulu ayam? Adakah ayam perlu berbulu musang? Kedua-duanya berkaitan penyamaran di mana orang jahat menyamar sebagai orang baik.


KEJUJURAN

Kejujuran adalah dari kata dasar jujur. Bukan mudah mencari orang yang jujur atau atau mencari sebuah kejujuran. Jujur adalah satu sifat baik yang sepatutnya ada dalam diri setiap manusia. Sifat yang perlu dipupuk sejak kecil. Jujur bukan saja pada orang lain, tetapi kena jujur pada diri sendiri. Bila kita jujur pada diri sendiri, baru kita boleh jujur kepada orang lain.
 
Kejujuran sering diukur dalam pelbagai aspek dalam kehidupan. Perbuatan yang jujur perlu ada dalam rutin harian kita. Belajar, bekerja, bermain, berkawan, berniaga dan sebagainya menuntut seseorang supaya jujur. Jujur sering dirangkai dengan ikhlas dan keikhlasan dalam melakukan sesuatu perkara atau perbuatan.
 
Dalam dunia moden ini kita sering terpedaya dengan penampilan seseorang. Baik yang kita kenali atau tidak kenali. Kalau yang tidak dikenali itu perkara biasa. Kalau nak menilai kejujuran orang yang baru kita kenali memang sukar. Kita hanya perlu berwaspada dan lebih berhati-hati dengan orang yang baru dikenali.
 
Masalahnya, bagaimana menilai kejujuran orang yang kita kenali? Mengenali antara satu sama lain lebih dari 20 tahun. Tak kurang juga yang baru dikenali 2-3 bulan. Kita bincang kejujuran sahabat yang dikenali puluhan tahun. Pernah senang bersama, susah bersama. Tapi segalanya telah hancur dan tidak akan ada secebis kepercayaan lagi kepada sahabat yang telah mengkhianatinya. Cukup, cukuplah sudah pedih yang dirasai.
 
Tak perlu dikenang segalanya lagi. Biarlah persahabatan dengan orang seperti ini berkubur buat selamanya. Tak menguntungkan pun. Rugi bertambah banyak.
 

AIDILADHA 2012

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya kita sama-sama dapat menyambut Aidiladaha pada tahun ini dengan sempurna pada 26 Oktober 2012 bersamaan 10 Zulhijjah 1433H. 

Walaupun cuti dihujung minggu namun ramai di kalangan rakan-rakan yang mengambil kesempatan untuk pulang menyambutnya bersama keluarga dan sanak saudara di kampung. Lebuhraya dan jalan-jalan utama begitu sesak dengan kenderaan yang bertali arus sejak petang Jumaat kerana Aidiladha disambut pada hari Jumaat.

Kesesakan di laluan utama ke Utara dan PantaiTtimur tidak mematahkan semangat perantau untuk pulang ke kampung. Ada yang terpaksa melalui perjalanan  lebih 10 atau 12 jam untuk sampai ke destinasi terutama Kelantan dan Terengganu.

Kesesakan ini menyebabkan pemandu merasa amat tertekan dan sering hilang sabar. Tekanan ini juga menjadi punca kemalangan. Banyak kemalangan yang berlaku dan statistiknya tidak dilaporkan oleh media cetak atau elektronik. Namun jumlah kemalangan meningkat dengan ketara. Kemalangan maut juga bertambah dalam tempoh 4-5 hari sebelum dan selepas perayaan.

Saya memilih menggunakan Lebuhraya Utara Selatan melaui Ipoh dan keluar di Kuala Kangsar. Dari situ menuju ke Grik dan kemudian menggunakan Jalanraya Timur Barat melalui Jeli sebelum sampai ke Tanah Merah. Perjalanan agak lancar. Namun lebih kurang 10 km sebelum Jeli berlaku kesesakan yang teruk. Puncanya pertambahan kenderaan dari Gua Musang dan Grik yang bertemu di persimpangan lampu isyarat.

Dari laluan 2 lorong dari Gua Musang dan 2 lorong dari grik mengecil menjadi 1 lorong dan sekali lagi ramai pemandu yang hilang sabar dan kesesakan berlaku hampir 2 jam. Kemudian hujan turun dengan lebat sebelum tersangkut lagi di Bukit Bunga. Akhirnya perjalanan balik kampung lebih dari 8 jam. Keletihan yang ketara kerana berpuasa sempena hari Arafah. Syukur kerana semuanya selamat dan dapat bertemu dengan ayah serta kedua ibu dan bapa mertua untuk Aidiladha kali ini.

Seperti biasa persiapan untuk sambutan Aidiladha pun agak meriah dengan pelbagai juadah disediakan. Ada ketupat, lemang dan nasi himpit. Kuih raya tak disediakan. Bezanya, pagi esok ada sembelihan korban yang akan dimulakan selepas Solat Sunat Aidiladha. Solat Sunat diadakan tepat  pukul 8.30 pagi dan selesai pada pukul 9.00 pagi.

Korban tahun ini dijalankan ditempat baru. Tiga ekor lembu dikorbankan. Petugas mengambil tempat dan orang-orang yang menjalankan ibadah korban menunggu untuk melafazkan niat. Tujuh orang untuk setiap ekor lembu atau tujuh bahagian. tahun ini harga satu bahagian RM350.00.

Kerja-kerja sembelihan, melapah, memotong dan membahagikan daging, tulang dan semua anggota lembu tersebut selesai dalam masa tiga jam. Memang cepat tapi agak meletihkan kerana peralatan yang tidak mencukupi dan tempat yang tidak selesa.

Setelah dibahagikan kepada tujuh bahagian, setiap bahagian diambil oleh peserta untuk dibawa balik sebelum disedekahkan kepada orang lain. Begitulah prosesnya.

Selebihnya dimasak dan dimakan bersama ahli keluarga. Dua hari menu utama adalah daging yang dimasak dengan berbagai cara. Ada yang digoreng, dibakar, dibuat rendang dan sebagainya.

Hari raya kedua baru dapat menziarahi ibu bersama adik beradik di Serendah. Alhamdulillah. tak semua dapat balik bercuti kali ini. Namun demikian tetap meriah dan gembira.

natijah dari semua ini, pengorbanan itu dalam berbagai bentuk. Bermula dari keputusan untuk balik berhari raya di kampung halaman, mengharungi kesesakan, perjalanan yang jauh dan kerenah dijalanraya, lebuhraya dan berbagai lagi menguji kesabaran kita dan pengorbanan masa, tenaga dan juga wang ringgit amat besat ertinya demi sambutan Aidiladha bersama kedua ibu bapa dan sanak saudara.