Assalamualaikum wbt
Alhamdulillah syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya kita sama-sama dapat menyambut Aidiladaha pada tahun ini dengan sempurna pada 26 Oktober 2012 bersamaan 10 Zulhijjah 1433H.
Walaupun cuti dihujung minggu namun ramai di kalangan rakan-rakan yang mengambil kesempatan untuk pulang menyambutnya bersama keluarga dan sanak saudara di kampung. Lebuhraya dan jalan-jalan utama begitu sesak dengan kenderaan yang bertali arus sejak petang Jumaat kerana Aidiladha disambut pada hari Jumaat.
Kesesakan di laluan utama ke Utara dan PantaiTtimur tidak mematahkan semangat perantau untuk pulang ke kampung. Ada yang terpaksa melalui perjalanan lebih 10 atau 12 jam untuk sampai ke destinasi terutama Kelantan dan Terengganu.
Kesesakan ini menyebabkan pemandu merasa amat tertekan dan sering hilang sabar. Tekanan ini juga menjadi punca kemalangan. Banyak kemalangan yang berlaku dan statistiknya tidak dilaporkan oleh media cetak atau elektronik. Namun jumlah kemalangan meningkat dengan ketara. Kemalangan maut juga bertambah dalam tempoh 4-5 hari sebelum dan selepas perayaan.
Saya memilih menggunakan Lebuhraya Utara Selatan melaui Ipoh dan keluar di Kuala Kangsar. Dari situ menuju ke Grik dan kemudian menggunakan Jalanraya Timur Barat melalui Jeli sebelum sampai ke Tanah Merah. Perjalanan agak lancar. Namun lebih kurang 10 km sebelum Jeli berlaku kesesakan yang teruk. Puncanya pertambahan kenderaan dari Gua Musang dan Grik yang bertemu di persimpangan lampu isyarat.
Dari laluan 2 lorong dari Gua Musang dan 2 lorong dari grik mengecil menjadi 1 lorong dan sekali lagi ramai pemandu yang hilang sabar dan kesesakan berlaku hampir 2 jam. Kemudian hujan turun dengan lebat sebelum tersangkut lagi di Bukit Bunga. Akhirnya perjalanan balik kampung lebih dari 8 jam. Keletihan yang ketara kerana berpuasa sempena hari Arafah. Syukur kerana semuanya selamat dan dapat bertemu dengan ayah serta kedua ibu dan bapa mertua untuk Aidiladha kali ini.
Seperti biasa persiapan untuk sambutan Aidiladha pun agak meriah dengan pelbagai juadah disediakan. Ada ketupat, lemang dan nasi himpit. Kuih raya tak disediakan. Bezanya, pagi esok ada sembelihan korban yang akan dimulakan selepas Solat Sunat Aidiladha. Solat Sunat diadakan tepat pukul 8.30 pagi dan selesai pada pukul 9.00 pagi.
Korban tahun ini dijalankan ditempat baru. Tiga ekor lembu dikorbankan. Petugas mengambil tempat dan orang-orang yang menjalankan ibadah korban menunggu untuk melafazkan niat. Tujuh orang untuk setiap ekor lembu atau tujuh bahagian. tahun ini harga satu bahagian RM350.00.
Kerja-kerja sembelihan, melapah, memotong dan membahagikan daging, tulang dan semua anggota lembu tersebut selesai dalam masa tiga jam. Memang cepat tapi agak meletihkan kerana peralatan yang tidak mencukupi dan tempat yang tidak selesa.
Setelah dibahagikan kepada tujuh bahagian, setiap bahagian diambil oleh peserta untuk dibawa balik sebelum disedekahkan kepada orang lain. Begitulah prosesnya.
Selebihnya dimasak dan dimakan bersama ahli keluarga. Dua hari menu utama adalah daging yang dimasak dengan berbagai cara. Ada yang digoreng, dibakar, dibuat rendang dan sebagainya.
Hari raya kedua baru dapat menziarahi ibu bersama adik beradik di Serendah. Alhamdulillah. tak semua dapat balik bercuti kali ini. Namun demikian tetap meriah dan gembira.
natijah dari semua ini, pengorbanan itu dalam berbagai bentuk. Bermula dari keputusan untuk balik berhari raya di kampung halaman, mengharungi kesesakan, perjalanan yang jauh dan kerenah dijalanraya, lebuhraya dan berbagai lagi menguji kesabaran kita dan pengorbanan masa, tenaga dan juga wang ringgit amat besat ertinya demi sambutan Aidiladha bersama kedua ibu bapa dan sanak saudara.